Perutusan Ketua Jajahan

Bismillahir Rahmanir Rahiim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, saya  mengucapkan  setinggi-tinggi  kesyukuran  ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Laman Web Pejabat  Tanah dan Jajahan Gua Musang dapat dibangunkan dengan jayanya selaras  dasar kerajaan yang mahukan setiap agensi kerajaan mempunyai laman web mereka sendiri bagi tujuan penyebaran maklumat yang lebih efisien dan efektif.

Teknologi  maklumat  adalah  sangat  penting  dan   merupakan aset utama pembangunan sesebuah negara. Menyedari  akan kepentingannya, Perdana Menteri kita telah mengesyorkan penggunaan IT secara meluas supaya masyarakat turut sama mengecapi kemajuan dan tidak ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan masa kini.  Dengan  kepesatan  dunia sains  dan  teknologi   kini  juga  dapat membantu pekerja sektor awam meningkatkan prestasi serta kualiti pejabat kerajaan khususnya Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Saya   sedar  matlamat  untuk  mencapai   tahap   perkhidmatan  yang  cemerlang  bagi  sesebuah   organisasi bukanlah  sesuatu  yang   mudah.   Ianya    memerlukan   keinginan  dan  komitmen  yang   tinggi  di kalangan pekerja untuk memperbaiki dan memajukan diri seiring dengan perkembangan teknologi maklumat kini. Adalah  menjadi  harapan   saya,  laman  web   ini  menjadi  satu sumber maklumat penting dan bahan rujukan kepada  semua  pihak. Di kesempatan  ini  juga,   saya merakamkan terima kasih dan tahniah kepada para pegawai dan semua  yang  terlibat dalam  menghasilkan laman web ini. Insyaallah, marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah s.w.t.

Sekian, wassalam.

Y.M. Tuan Haji Zainal Abidin bin Tuan Yusuf
(Ketua Jajahan Gua Musang)

Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang

Tag: Perutusan Ketua Jajahan

  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • MAMPU
  • MSC Malaysia
  • mySMS 15888